Saturday, February 9, 2008

uniknya anak manusia

Salam sejahtera,
Melihat pada makhluk Tuhan yang lain seperti ayam, kucing, ikan, lembu, mahupun serangga kecil seperti semut dan nyamuk adalah suatu pengalaman yang menakjubkan. Tidak seperti anak-anak manusia, anak haiwan-haiwan tersebut begitu mudah berdikari; belajar sendiri, mencari makan sendiri, hatta menjaga keselamatan diri sendiri tanpa bantuan ibu bapa. Kebanyakan spesis haiwan membiarkan anak-anak mereka sendirian sebaik dilahirkan. Malah terdapat spesis haiwan yang tidak pernah langsung melihat rupa anak-anak mereka. Penyu yang kelihatan 'pendiam' dan 'baik' pun meninggalkan telur-telurnya di dalam pasir dan terus pergi jauh dari situ tanpa peduli apa akan terjadi pada telur-telur yang akan menetaskan zuriatnya.
Seperkara lagi yang dapat kita lihat, anak-anak haiwan dapat belajar dengan cepat dan tidak memerlukan pendidikan formal. Mengapa begitu? Sebenarnya, majoriti haiwan mempunyai jangka hayat yang pendek dan ruang litup kehidupan yang ringkas. Hal ini bertentangan dengan manusia yang mempunyai jangka hayat yang lebih panjang dan kompleks. Keinginan dan keperluan manusia tidak terbatas dan sentiasa berubah-ubah. Justeru manusia perlu mengetahui lebih banyak perkara berbanding haiwan sebagai persediaan dan persiapan peribadi untuk kesinambungan hidup.
Syukur pada Tuhan kerana kita dicipta sebagai manusia. Justeru mendidik anak-anak adalah satu usaha berterusan yang menjadi tanggung jawab kita sejak anak itu lahir, sehinggalah kita atau mereka meninggal dunia. Anak-anak adalah permata kecil yang yang mempunyai potensi unik dan indah untuk digilap dan dikembangkan. Allah telah berfirman:
"Menuntut ilmu itu wajib (fardhu) atas setiap orang islam samada lelaki mahupun perempuan."
Apabila menuntut ilmu itu wajib, maka meninggalkan usaha menuntut ilmu sudah tentulah berdosa. Jika begitu, bagaimana halnya kanak-kanak yang belum cukup umur dan disifatkan tidak berdosa? Jawabnya, ibu bapalah yang akan menanggung dosa sekiranya kanak-kanak tidak mendapat ilmu yang secukupnya.
Saidina Ali menambah, "didiklah anak-anak kamu mengikut zamannya."

Salam perpaduan
Azman
Marhani

Sila lihat artikal selanjutnya di www.morhabshi.com

Artikal ini dan artikal-artikal lain juga boleh dibaca di laman rasmi permatakecil.
Sila klik http://www.morhabshi.com/

No comments: