Saturday, February 9, 2008

Menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada guru/pihak sekolah?

Tindakan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah adalah suatu amalan sihat yang wajar dipuji. Malah sistem pendidikan yang digarap dan dicerna oleh pakar pendidikan negara sambil merujuk kepada disiplin pendidikan Islam, kebudayaan timur dan dan pandangan sarjana barat dulu hingga kini, akan lebih menjamin kualiti dalam pendidikan anak-anak kita.
Malangnya sebelum ini, terdapat segelintir ibu bapa yang menganggap bahawa tugas mendidik anak-anak telah selesai apabila anak-anak sudah didaftarkan dan belajar di sekolah. Mereka berpendapat bahawa tugas menyediakan kemudahan pendidikan adalah tanggung jawab kerajaan manakala tugas mengajar dan mendidik adalah tugas guru yang dibayar gaji melalui wang rakyat.
Kini, zaman telah berubah. Kesedaran ibu bapa dan orang ramai terhadap peranan semua pihak dalam mendidik anak-anak semakin meluas. Buktinya, pusat-pusat didikan kanak-kanak seperti tadika, tabika, prasekolah, taska, taski dan sebagainya tumbuh bak cendawan selepas hujan. Terdapat pusat didikan kanak-kanak yang tidak mengenakan sebarang bayaran atau sekadar memungut sejumlah kecil yuran minima tetapi tedapat juga pihak swasta yang mengenakan yuran sehingga RM800 sebulan bagi setiap kanak-kanak. Majoriti pusat didikan kanak-kanak di Malaysia mengenakan yuran bulanan antara RM80 hingga RM250 bagi setiap kanak-kanak.
Memandangkan bertambahnya minat dan keinginan ibu bapa serta orang ramai untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat tentang pendidikan kanak-kanak (perkembangan awal kanak-kanak) maka kami dengan rendah diri menawarkan satu lagi sumber maklumat untuk dikongsi bersama melalui laman Permata Kecil ini. Untuk permulaan ini permatakecil akan menumpang pada host morhabshi.com (www.morhabshi.com) yang telah terkenal sejak 2006. Manakala morhabshi.com pula adalah lanjutan daripada laman pendidikan panduannet yang telah kami mulakan sejak 1999 lagi. Semoga usaha kami yang kecil ini dapat memberikan manafaat kepada ibu bapa dan semua pihak yang inginkan pendidikan terbaik untuk anak-anak kita, pewaris kita.
Sekian, jumpa lagi.

2 comments:

putera said...

Jiran saya 'menasihati' saya agar menghantar anak ke prasekolah/tadika yang dikelolakan pihak swasta kerana katanya lebih baik. Apa pendapat cikgu berdua?

Cheguman said...

Terdapat beberapa faktor yang menentukan kualiti sesebuah pusat pembelajaran kanak-kanak, antaranya:
> Bangunan dan kemudahan fizikal
> Penaung/penganjur, Pengurus dan pembantu

Seperkara lagi yang sering kita terlepas pandang ialah latar belakang keluarga majoriti kanak-kanak di situ juga sedikit sebanyak mempengaruhi sesebuah pusat pembelajaran kanak-kanak. Hal ini kerana persedian, perancangan, pendekatan dan corak pengajaran guru turut dipengaruhi oleh latar belakang klien guru tersebut.

Perlu diingat bahawa mulai 2003 semua pusat pembelajaran kanak-kanak MESTI mematuhi garis panduan yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia termasuk mematuhi sukatan pelajaran prasekolah yang dikeluarkan oleh kementerian. Justeru tidak timbul lagi persoalan prasekolah swasta lebih baik daripada prasekolah kelolaan kementerian. Malah, mana-mana pusat pengajaran kanak-kanak yang tidak mengikuti garis panduan yang disediakan oleh kementerian boleh dianggap kurang sesuai untuk kanak-kanak Malaysia. Hal ini kerana sukatan pelajaran prasekolah yang ditetapkan oleh kementerian adalah hasil kajian dan perbincangan para sarjana, tokoh pendidik dan semua pihak bagi menyediakan rakyat Malaysia yang mampu meneruskan kesinambungan perjuangan negara bangsa dan negara kota.

Wallahu 'alam