Tuesday, January 29, 2008

Bulan Pertama

Kata orang, "'memulakan' adalah sesuatu yang paling sukar." Benar, tetapi 'memulakan' juga sesuatu yang sungguh menyeronokkan. Justeru 03 Januari 2008 saya tunggu dengan penuh debaran berbaur dengan pelbagai tanda tanya. Alhamdulillah tarikh tersebut telah pun berlalu tanpa sebarang insiden! Memang agak meletihkan mengendalikan sebuah kelas prasekolah tanpa pembantu. Namun keletah anak-anak comel yang sentiasa 'mengganggu' menyebabkan waktu berlalu tanpa disedari. 25 orang bocah kecil yang cuma memikirkan tentang beberapa jam di hadapan, tidak seperti orang dewasa yang pening memikirkan apa yang akan berlaku dan dilakukan esok. Ikhlas, tulus dan telus... beritahu lah tentang apa sahaja, mereka pasti percaya. Melihat anak-anak kecil ini, hati terkenang sekilas pada Sharlini yang entah di mana... Sebelum berakhir kelas hari ini saya mengajak anak-anak sama-sama berdoa agar Tuhan menyelamatkan Sharlini.

Sekapur sirih seulas pinang

Prasekolah Seri Duyong bermula pada 03 Januari 2008 dan terdiri daripada dua buah kelas dengan 50 orang kanak-kanak yang menjadi pelajar sulungnya. Lokasinya yang amat strategik iaitu berhampiran beberapa taman perumahan serta kampung tradisional menjadikannya pilihan utama penduduk setempat.Sekadar menyatakan bahawa prasekolah ini terletak berhampiran Ayer Molek barangkali tidak cukup untuk orang luar memahami lokasi sebenarnya. Sebaliknya orang ramai sudah tentu tahu tentang Laksamana Hang Tuah. Justeru saya amat berbangga untuk memperkenalkan prasekolah ini dengan pengenalan bahawa prasekolah ini terletak tidak jauh dari Perigi Hang Tuah yang amat terkenal itu. Namun adalah tidak adil jika saya tidak menyatakan satu lagi fakta iaitu di Duyong ini terdapat dua buah sekolah kebangsaan iaitu Sekolah Kebangsaan Duyong (kampung Duyong) dan Sekolah Kebangsaan Seri Duyong (Permatang Duyong). Adapun Prasekolah Seri Duyong ini terletak di Sekolah Kebangsaan Seri Duyong.